Monday 5 December 2011

Sejarah Perkembangan Muzik Di Malaysia

Pengenalan

Sejarah pendidikan formal di Malaysia telah menunjukkan bahawa pihak British telah menubuhkan Penang Free School pada tahun 1816. Penubuhan sekolah ini ternyata telah menjadi perintis kepada penubuhan sekolah-sekolah Inggeris yang lain terutamanya di Kuala Lumpur, Ipoh dan Melaka. Dengan penubuhan sekolah-sekolah tersebut maka secara tak langsung bermulanya pembelajaran muzik di negara kita. Pada masa ini pembelajaran muzik di sekolah-sekolah ini hanya merupakan aktiviti kokurikular dan jarang sekali diadakan dalam aktiviti formal. Apa yang nyata kemasukan kuasa penjajah ini merupakan titik tolak kepada bermulanya pendidikan Muzik di sekolah-sekolah. Kedatangan Jepun dilihat sebagai suatu fenomena yang kurang memberi kesan yang ketara terutamanya terhadap terhadap sistem pendidikan di Malaysia. Jika dihitung secara logik jelas bahawa pertapakan kuasa British yang lebih lama di Tanah Melayu lebih banyak memberi impak terutamanya terhadap perkembangan pendidikan muzik di Malaysia dan penulisan pada kali ini akan mengupas tentang perkembangan pendidikan muzik di Malaysia bermula pada zaman penjajahan British sehinggalah pada masa kini.

Pendidikan Muzik Semasa Zaman Penjajahan 

Jelas bahawa sistem pendidikan muzik seperti yang wujud pada masa kini mempunyai banyak ciri yang telah diwarisi daripada sistem pendidikan yang telah diwujudkan pada zaman British. Hakikat ini tidak dapat disangkal kerana pihak British telah berusaha dengan sengaja untuk memberikan satu gambaran kepada rakyat Malaya tentang keunggulan dan kehebatan idea-idea British dalam semua aspek kehidupan rakyat kita seperti pendidikan, undang-undang, perubatan, pentadbiran am dan politik. Bermula pada tahun 1816 maka Penang Free School dibuka dan daripada detik inilah diikuti dengan pembukaan beberapa buah sekolah Inggeris lain di Perak, Melaka, Kuala Lumpur, dan di beberapa lokasi lain. Sejajar dengan pembukaan sekolah tersebut telah “membawa bersama” pembelajaran muzik seperti koir dan pancaragam sebagai antara aktiviti kokurikular pada masa tersebut.

Selain itu juga, nyanyian lagu puisi berirama kanak-kanak turut diadakan setiap kali semasa pembelajaran matapelajaran Bahasa Inggeris. Pada masa ini, pihak yang berkuasa telah menentukan bahawa setiap sekolah Inggeris mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru yang mahir bermain piano atau mempunyai latar belakang formal dalam sistem muzik barat. Selain itu, nyanyian lagu kanak-kanak, seriosa atau rakyat dari Barat juga turut diadakan semasa pembelajaran Bahasa Inggeris supaya amalan sebegini akan mengukuhkan lagi pembelajaran Bahasa Inggeris. Jelas bahawa pembelajaran muzik pada peringkat ini hanya tertumpu kepada sekolah-sekolah vernakular beraliran Inggeris. Manakala sekolah vernakular, Melayu, Cina dan India begitu ketinggalan dalam aspek ini.

Semasa zaman pentadbiran tentera Jepun, pengajaran muzik telah diadakan di sekolah-sekolah Malaya tetapi pada masa ini para pelajar dikehendaki menyanyikan lagu-lagu patriotik seperti lagu “Komigayu” dan rakyat daripada negara Jepun. Pada masa pentadbiran tentera Jepun, sukatan mata pelajaran juga berdasarkan Dasar Pelajaran Jepun. Namun pemerintahan Jepun itu sendiri tidak meninggalkan sebarang kesan yang jelas dalam sistem muzik Malaysia yang wujud pada masa sekarang. Ini kerana selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu selepas Perang Dunia Ke II sistem pendidikan yang pernah wujud sebelum perang itu diamalkan semula apabila pihak British kembali memerintah Malaya. Pada masa ini kita dapat melihat bagaimana para pelajar dikehendaki menyanyikan lagu-lagu rasmi negeri berkenaan dan lagu kebangsaaan Britian iaitu God Save The Queen dalam upacara perhimpunan sekolah terutamanya di sekolah-sekolah Inggeris.

Perkembangan pendidikan muzik di Malaysia begitu ketara terutama sekali selepas zaman penjajahan berakhir. Pada tahun 1950-an, pelajaran muzik dalam bentuk siaran ke sekolah-sekolah telah dimulakan oleh Radio Malaya tetapi hanya di sekolah-sekolah di bandar yang berupaya mengadakan kemudahan radio dapat mengikuti siaran ini. Pada masa ini, para pelajar dari kelas-kelas tertentu dikehendaki menuju ke dewan sekolah bagi mengikuti siaran tersebut. Juga, pada masa tersebut para pelajar sudah mula bermain alat-alat genderang sebagai aktiviti sampingan untuk nyanyian di beberapa buah sekolah Inggeris yang tertentu.

Selain itu, aktiviti meniup rekoder juga telah diadakan di beberapa buah sekolah, khasnya di kawasan bandar-bandar utama. Beberapa buah sekolah Inggeris telah mula menubuhkan pancaragam kawat atau brasben. Kebanyakkan pancaragam ini telah dilatih oleh ahli atau bekas ahli pancaragam tentera. Amalan ini wujud kerana guru-guru muzik yang terlatih daripada maktab-maktab perguruan di Malaysia masih belum menerima latihan dalam aspek mengendalikan aktiviti pancaragam kawat. Kumpulan-kumpulan koir, rekorder dan pancaragam kawat sentiasa dikehendaki membuat persembahan dalam majlis-majlis tertentu dalam takwim sekolah seperti Hari Ucapan, Hari Sukan dan apabila sekolah dilawati oleh orang kenamaan. Namun perkembangan sebegini begitu jarang dinikmati oleh golongan pelajar di sekolah-sekolah luar bandar.

Dengan kewujudan kumpulan-kumpulan muzik seperti ini telah dapat menaikkan imej dan nama sekolah yang berkenaan. Tradisi ini sudah diamalkan oleh sekolah-sekolah Inggeris daripada awal abad ke 20 lagi. Hampir kesemua sekolah berasrama penuh yang ditubuhkan kemudian seperti Maktab Tentera Diraja, Kolej Tunku Khursiah, Kolej Tun Fatimah, Kolej Melayu dan Sekolah Dato Abd Razak juga telah mengadakan semua aktiviti muzik tersebut.

Pendidikan Muzik Selepas Merdeka

Pada tahun 1960-an dan 1970-an, beberapa buah sekolah telah mengadakan pancaragam muzik yang berbentuk kugiran ( Kumpulan Gitar Rancak) dan angklung. Harus juga disebut di sini bahawa kebanyakkan daripada sekolah-sekolah Mubaligh Kristian seperti sekolah Anglo Chinese, Sekolah Convent dan sekolah Methodist sememangnya terkenal dengan satu tradisi yang unggul bagi koir masing-masing. Dalam perkembangan pendidikan muzik formal di Malaysia pada waktu ini sekolah-sekolah Melayu seolah-olah terpinggir sehinggalah pada tahun 1970-an apabila beberapa buah sekolah rendah telah mengadakan pendidikan muzik atas budi bicara guru-guru besar berkenaan dan jika seseorang guru muzik beredar ditugaskan mengajar di sekolah itu. Sebelum itu, muzik telah diadakan hanya secara sampingan atau kebetulan sahaja melalui nyanyian nasyid dalam pelajaran agama. Walaupun tilawah al-Quran jelas mempunyai unsur-unsur muzik, aktiviti ini tidak dianggap sebagai satu tingkah laku muzikal mengikut tradisi orang-orang yang beragama Islam sama ada di Malaysia atau di negara-negara Islam yang lain.

Pada tahun 1972, muzik telah diadakan sebagai satu mata pelajaran pilihan dalam peperiksaan SRP. Maka, pendidikan muzik secara formal di Malaysia telah bermula pada tahun 1972. Walaupun perkembangan ini hanya melibatkan beberapa buah sekolah di bandar-bandar tertentu sahaja. Sukatan untuk pelajaran muzik SRP ini jelas mempunyai banyak pengaruh daripada sukatan pelajaran Associated Board of Royal Schools Of Music ( ABRSM ), London, terdapat juga sedikit muzik dari Malaysia yang dimuatkan dalam bahagian menghayati muzik.

Muzik daripada budaya Malaysia yang dimaksudkan itu ialah “ Overtur Samudra” yang merupakan satu rangkaian lagu tradisi rakyat Malaysia yang digubah dalam bentuk muzik orkestra Barat. Muzik ini telah digubah oleh Gus Steyn, iaitu seorang pemuzik dan penggubah yang terkenal dalam bidang muzik pada tahun 1960-an dan 1970-an. Kemasukan muzik tempatan dalam kurikulum muzik formal SRP merupakan usaha pertama sekali dalam sejarah pendidikan muzik di Malaysia untuk menjadikan muzik sebagai keperluan penting dalam masyarakat.

Selain itu, pada tahun 1959, sebuah Maktab Perguruan Ilmu Khas di Kuala Lumpur telah memulakan fungsinya melatih guru-guru dalam bidang-bidang khas dan maktab ini telah memulakan khusus dalam bidang pendidikan muzik pada tahun 1971. tempoh kursus dalam bidang pendidikan muzik ini ialah satu tahun sahaja. Guru-guru terlatih yang telah mengajar sekurang-kurangnya lima tahun dan mempunyai minat dan kemahiran tertentu dalam bidang muzik dianggap layak untuk mengikuti khursus ini. Manakala pada tahun 1991, jumlah ini pernah bertambah kepada 40 orang setiap tahun mengikut keperluan semasa. Kursus ini juga dimulakan di Martab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang pada tahun 1983.

Di samping itu, sejarah pendidikan muzik formal terus berkembang apabila pada tahun 1980 apabila bidang gitar dimasukkan ke dalam kurikulum muzik di Martab Perguruan Ilmu Khas. Kemasukan bidang gitar dalam kurikulum formal di maktab merupakan satu tindakan yang amat wajar dan pragmatis yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan pada ketika itu.

Selain itu, di Malaysia, pendidikan muzik tidak wujud langsung dalam kurikulum formal di mana-mana Universiti hingga sekarang iaitu mewajibkan setiap pelajar pada peringkat sarjana muda dengan tidak mengira jenis kursus atau disiplin yang dituntutnya mengikut mana-mana satu khusus seni halus termasuk muzik seperti hampir kesemua universiti dan kolej di Amerika Syarikat. Aktiviti-aktiviti muzik yang berkaitan dengan kugiran ( kumpulan gitar rancak) dan kumpulan muzik tradisional seperti asli dan ghazal dikelolakan oleh seorang pegawai kebudayaan. Manakala pada tahun 1984, pendidikan muzik telah disediakan diperingkat diploma di Institut Teknologi Mara ( ITM ) di Shah Alam. Di ITM dua program muzik yang boleh dipelajari ialah pendidikan muzik dan muzik gunaan.

Akibat timbul kesedaran tentang kepentingan muzik, pihak ITM pada tahun 1991, merancang menyediakan satu pusat etnomusikologi untuk memperkembangkan muzik tradisional di Malaysia. Kurikulum muzik di ITM meliputi beraneka jenis muzik termasuk muzik seriosa Barat, jaz dan pop. Oleh itu, rasional dan pendekatan ITM untuk pendidikan muzik adalah kurang konservatif jika dibandingkan dengan yang wujud dalam program muzik di maktab-maktab perguruan selama ini.

Selain itu, pendidikan muzik formal juga diajar oleh sektor swasta. Sistem ini adalah pengajaran bermain piano atau mana-mana alat muzik daripada budaya seriosa Barat seperti violin secara persendirian. Perkembangan ini sangat abik untuk pendidikan muzik terus berkembang dan kesedaran masyarakat tentang muzik semakin bertambah. Masyarakat mula sedar bahawa sistem pembelajaran sesuatu ilmu termasuk muzik secara berguru ini memang wujud dalam budaya tempatan di rantau ini dari zaman dahulu lagi.

Pada zaman ini, banyak pemuzik dari India dan Filipina yang terlatih dalam sistem muzik Barat telah diimport oleh pihak British ke Malaya. Hal ini berlaku kerana ahli muzik tempatan pada ketika itu kurang mahir terutama dalam sistem notasi muzik Barat adalah kurang. Pemuzik-pemuzik yang diimport itu membolehkan pihak British menubuhkan pancaragam-pancaragam berkawat yang sangat diperlukan ketika itu untuk memeriahkan lagi beberapa upacara dan majlis rasmi.

Sistem pendidikan muzik formal ABRSM telah mendatangkan beberapa pengaruh positif. Sistem ini telah membolehkan satu segmen atau golongan kecil dalam masyarakat Malaysia mengenali, memahami dan menghayati muzik seriosa dari budaya Barat. Selain itu, sistem pendidkan muzik ala ABRSM juga mempunyai kelemahan dari segi falsafah pendidikan muzik kerana memerlukan kos yang tinggi dan hanya mampu di penuhi oleh golongan elit sahaja.

Sejak 20 tahun kebelakangan ini, beberapa peperiksaan yang luar daripada tradisi ABRSM tetapi bersijil juga telah dijayakan oleh beberapa sekolah muzik swasta khasnya untuk gitar dab organ. Tetapi hampir kesemua sekolah muzik ini merupakan institusi-institusi yang wujud secara berasingan dengan syarikat-syarikat muzik yang menjual alat-alat muzik seperti piano, gitar dan organ. Sistem pendidikan muzik swasta ini lebih peka segala perkembangan dan aliran semasa dalam arena pendidikan muzik pada peringkat antarabangsa. Oleh itu, sekolah-sekolah swasta telah memperlihatkan serta membuktikan satu sikap dan kesanggupan yang lebih progresif dan pragmatis terhadap bebepara strategi dan pendekatan semasa untuk mengajar muzik kepada pelajar.

Selain itu, perkembangan pendidikan muzik juga berkembang melalui latihan luar negeri dalam bidang pendidikan muzik. Mulai tahun 1960-an lagi kerajaan telah mula menghantar beberapa orang guru terlatih yang mempunyai minat dan kelayakan formasi dalam muzik ke England untuk mengikuti kursus muzik peringkat diploma lanjutan di sana. Tetapi pada akhir tahun 1970-an, kerajaan telah memulakan satu aliran baharu dengan menghantar pendidik-pendidik muzik dalam perhidmatan kerajaan ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Indonesia untuk pengajian tinggi dalm bidang pendidikan muzik.

Perkembangan baharu ini juga selaras dengan dasar kerajaan Malaysia, khasnya di bawah pimpinan YAB Dr. Mathathir Mohamad tentang keperluan untuk mempelbagaikan pendedahan yang diberikan kepada pelajar-pelajar Malaysia di seberang laut dalam hampir semua bidang. Ketika itu, pengajian di lauar negeri hampir sering dimaksudkan pengajian di United Kingdom dan oleh kerana itu juga hampir semua pendidik muzik utama di Malaysia hingga tahun 1980-an amat dipengaruhi oleh sistem pengajaran dan pembelajaran muzik ala ABRSM di England.

Lantaran itu, banyak pendidik muzik dalam perhidmatan kerajaan yang berijazah dan yang tidak berijazah telah dianugerahi biasiswa dan dihantar ke Amerika Syarikat oleh kerajaan mulai dari akhir tahun 1970-an. Selepas itu, perubahan yang ketara dalam arena pendidkan muzik di Malaysia hanya berlaku pada tahun 1988 apabila sukatan pelajaran untuk pendidikan bagi kursus asas muzik di maktab-maktab perguruan dirombak semula.

Pada bulan Disembar 1990. sukatan pelajaran bagi kursus Khas Muzik juga di selaraskan dengan sukatan pelajaran bagi kursus asas. Oleh itu, semua bidang baharu tersebut, iaitu pedagogi muzik, penghayatan muzik, muzik amali dan sejarah muzik diadakan bagi kali pertama bagi pelajar kursus khas pada tahun 1991.

Kebanyakkan pendidik muzik dari Malaysia yang menuntut muzik di England pada tahun 1970-an telah mengikuti kajian dalam bidang persembahan muzik dalam tradisi seriosa Barat. Mereka telah mempelajari muzik di sekolah-sekolah muzik yang bertradisi konservatorio muzik ketika di England. Tetapi pendidik muzik yang dihantar ke Amerika Syarikat oleh kerajaan telah diwajibkan mengikuti kajian dalam bidang pendidikan muzik per se.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, sejarah perkembangan muzik di Malaysia melalui pelbagai peringkat perkembangan yang akhirnya membawa kepda pengiktirafan dalam pendidikan formal di Malaysia. Pendidikan muzik mula ditawarkan di peringkat SRP dan seterusnya berkembang ke institut-institut perguruan dan di Universiti tempatan. Selain itu, pelajar-pelajar Malaysia juga di hantar ke England untuk mempelajari muzik di sana. Perkembangan ini dilihat secara positif terhadap perkembangan pendidikan muzik di Malaysia. Selain itu, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan muzik dalam kehidupan dapat memberi peluang kepada pendidikan muzik ini supaya lebih berkembang. Minat masyarakat terhadap muzik terutama dalam kehidupan sangat penting untuk menghilangkan ketegangan dan di samping mendapatkan hiburan sampingan. Kesedaran tentang pentingnya mengekalkan tradisi muzik rakyat di Malaysia sudah mula dirasakan. Pihak-pihak tertentu juga sedang berusaha untuk memulakan program muzik tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di beberpa buah sekolah yang terpilih di serata negeri di Malaysia. Golongan pendidik muzik pun mula berfikir semula secara mendalam lagi tentang pendekatan lama dan baharu untuk menyampiakan muzik dengan lebih berkesan dan bermakna. Dengan segala perkembangan yang telah berlaku dalam arena pendidikan muzik di Malaysia baru-baru ini, masa depan pendidikan muzik kelihatan lebih cerah sekarang jika dibandingkan dengan satu masa dahulu dan jika semua pihak berkerjasama dalam mengatasi masalah yang ada, maka kualiti pendidikan muzik di Malaysia boleh di pertingkatkan lagi ke satu tahap yang boleh dibanggakan di rantau ini.

No comments:

Post a Comment